Penghibur silap mata, Shah Hassannul Manzar, 29, mengakui bahawa seni meloloskan diri merupakan salah satu bidang dalam seni silap yang memerlukan masa, latihan dan kesungguhan yang mendalam.
Ada seni lolos diri yang menggunakan muslihat apabila daripada sisi pandangan penonton, set yang digunakan telah berkunci rapat.
Namun, di sisi sebaliknya tidak. Ada juga ahli lolos diri yang benar-benar melepaskan diri daripada belenggu seperti tali, rantai mahupun baju pasung tanpa muslihat.
“Jika tiada taktik digunakan, ahlinya perlu melakukan persiapan yang memakan masa panjang sehingga berbulan-bulan lamanya.
“Ketepatan masa pula perlu jitu supaya persembahan yang dilakukan berjaya dan keselamatan terjamin,” katanya yang mengurangkan aktiviti pertunjukan kerana terlibat dengan penggambaran filem Pat Pong.
Sebab itu juga, tidak ramai ahli silap mata menjadikan seni lolos diri sebagai sebahagian daripada persembahan mereka.
Bayangkan, untuk menguasai sesuatu jenis silap mata memakan masa antara satu hingga dua minggu bergantung kepada beberapa faktor, manakala lolos diri pula mengambil masa lebih dua bulan.
Untuk mengetahui sama ada satu persembahan lolos diri itu benar-benar berlaku tanpa sebarang helah digunakan amat sukar.
Ini kerana seni silap mata itu sendiri adalah untuk memperdaya pandangan penonton dan rata-rata ahlinya tidak akan menceritakan kebenaran.
Silap mata mempunyai pelbagai kaedah seperti kemahiran tangan, barang yang dicipta khas atau menggunakan tindak balas sains.
Aksi melibat percikan api merupakan silap mata menggunakan unsur-unsur sains, manakala lolos diri adalah aksi menggunakan prop.
Meskipun menyedari tahap kepayahan dan bahaya dalam seni lolos diri itu, Iron Will tetap menyimpan cita-cita untuk melakukan aksi yang lebih dramatik.
Dia bercita-cita untuk melakukan aksi lolos diri dengan mengikat seluruh tubuh pada rel roller-coaster dan berjaya melepaskan diri sebelum permainan tersebut melepasi lokasinya.
“Satu lagi aksi yang saya mahu cuba suatu hari nanti adalah ditanam hidup-hidup dalam sebuah kotak,” ujarnya yang gemarkan cabaran.
http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

No comments:
Post a Comment